Tuesday, July 10, 2012

Seberang sana, seberang sini





Teringat aku tentang satu kisah semasa aku di Los Angeles bertugas. Kisah ini aku teringat semasa menonton you tube tentang kononnya polis trafik Malaysia makan rasuah.

Sekumpulan kakitangan syarikat penerbangan dari Malaysia sedang melintas jalan selepas membeli belah di sebuah Shopping Mall walaupun lampu pejalan kaki berwarna merah. Setiba mereka di seberang jalan tiba-tiba sebuah kereta peronda polis berhenti dan seorang dari pegawai polis tersebut keluar dari kereta dan mengarahkan mereka berhenti.

Berlakulah satu pantomin (sebab aku nampak tangan mereka kejap-kejap menunjuk ke arah lampu isyarat) soal jawab lebih kurang 5 minit (Aku melihat dari seberang jalan). Kapten krew tersebut di panggil ke tepi dan beliau nampaknya seperti menyesal dengan perbuatan mereka.

Lebih kurang 2 minit selepas itu, Kapten itu berdiri di tepi jalan dan menekan butang lampu isyarat tersebut sambil di ikuti di belakangnya krew beliau. Sejurus saja lampu pejalan kaki tu menyala hijau, mereka pun menyeberangi jalan tersebut ke arah aku.

Setiba saja mereka di depan ku, baru aku nak buka buka mulut bertanya kisah, tiba-tiba mereka berpaling kembali ke arah jalan tadi dan menekan butang lampu pejalan kaki tersebut. Aku pun naik hairan tapi aku ikut saja mereka menunggu sebab aku pun nak ke seberang.

Lampu hijau menyala maka kami pun seberang. Tiba di seberang jalan aku ingin meneruskan perjalanan pulang ke hotel tetapi aku terperanjat kerana ke semua mereka berpaling semula ke arah jalan dan menekan butang lampu itu. Aku pun terhenti dan hairan melihat gelagat mereka.

Pada masa itu aku baru sedar ke dua-dua anggota polis tadi masih di situ. Lampu hijau, krew tersebut mula menyeberangi jalan itu kembali. Haaa, baru aku sedar yang mereka sedang menjalani hukuman sosial yang memalukan. Namun aku masih setia menunggu mereka sebab nak melihat hukuman yang tak pernah aku lihat.

Aku mengira ulang-alik mereka sebanyak 10 kali. Agaknya terasa amat malu, sebahagian daripada pramugari tersebut menutup muka mereka dengan shopping beg mereka. Kalau aku terlibat sama, besar kemaluan ku agaknya. Ramai yang melihat telatah mereka di kiri kanan jalan.

Selesai saja hukuman itu, mereka di beri ceramah secara rancangan Halaqah selama kira-kira 10 minit. Kapten tersebut banyak mengangguk-anggukkan kepalanya dan yang lain tunduk malu, agaknya. Selesai saja ceramah, pramugari-pramugari (dalam 5 orang) berlari laju macam di kejar hantu sebab malu aku rasa.

Moral of the story....... Jangan seberang jalan kalau lampu pejalan kaki berwarna merah..., KALAU POLIS ADA!

satria parang kontot

No comments:

Post a Comment